Sejarah Silat Kura-Kura...
Silat kura-kura asalnya dimainkan ditempat berpasir sama ada di tepi sungai atau di tepi pantai. Dahulunya, seikat pisang akan digantung ditempat persembahan. Satu perkara yang menarik mengenai seni silat ini apabila rekaan baju kumpulan silat berbentuk seperti kulit cengkerang kura-kura.Ia merupakan tarian yang sangat unik dan memerlukan minat serta kepakaran yang tinggi untuk dipersembahkan. Bermula pada tahun 1970-an, silat yang beruniformkan pakaian serba hitam dengan baju bergaris merah di bahagian tepi dan belakang ini, kerap dijemput bagi mengadakan pertunjukkan ke serata tempat sehingga pernah ke Singapura.
Seni silat yang menekankan unsur-unsur kelembutan ini merupakan satu-satunya seni terdapat di Hulu Terengganu, tidak ada ditempat lain di negara Malaysia.
Menurut cerita terdahulu yang diwarisi hingga kini, seorang guru silat sempat menyaksikan peristiwa 'perkelahian' dua kura-kura sedang berebut pisang hutan ketika sedang bertapa di sebuah gua di Hulu Paka, Dungun. Kura-kura itu kelihatan berpusing-pusing sambil mengais-ngais pasir dengan gerak yang mengkagumkan serta menghasilkan bunyi berdesir seolah-olah lagak orang bertarung. Ibu kura-kura memarahi anaknya yang berjaya memakan pisang tersebut dengan menyondol-nyondol ekor ke tubuh anaknya sebagai tanda tidak puas hati.
Peristiwa tersebut diingati guru silat berkenaan, sebaik tamat bertapa, beliau mempraktikkan gerak langkah kura-kura. Keistimewaan silat ini diperturunkan kepada seorang perantau dari Hulu Berang bernama Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pak Him. Dari situ, Pak Him mengembangkannya pula di mukim Hulu Berang kepada penduduk yang dikenal pasti mampu mewarisi keunggulan silat tersebut antaranya Yunus Mohamad (Pak Nus).
Setelah kematian Pak Him, kesinambungan silat kura-kura diambil tanggungjawab Pak Nus dan berjaya menarik penyertaan ramai pelatih baru kawasan berhampiran.
Gerak tari yang sangat teratur dan 'menawan', bahkan lenggok badan penuh gemalai ketika menarikan silat kura-kura, menggambarkan kelembutan dan kehalusan seni budaya rakyat di Hulu Terengganu.
Guru Silat Kura-kura, Mohd Yatim Isa,74, berkata, gerak tari seni silat ini hanya masih wujud di Kampung Menerong, Hulu Terengganu dan kini mula mendapat perhatian sama ada dalam atau luar negeri.
Senarai Program : PERSATUAN SENI SILAT KURA - KURA KAMPUNG MENERONG